Latar Belakang

1

Allahyarham Haji Ahmad bin Yaakub Al-Johori

Allahyarham Haji Ahmad bin Yaakub, pengarang asal buku Medan Selera ini amat gemar dan cenderung di dalam bidang masakan, penulisan serta kebajikan, di samping menyandang jawatan Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama di Johor pada masa hayat beliau. Pada sekitar tahun 1956 dan 1958, beliau telah ditugaskan untuk menyediakan Jamuan Makan Malam Perkahwinan-perkahwinan DiRaja Johor buat lebih 5,000 dif-dif terhormat.

Allahyarham juga pernah mengarang dan menerbitkan buku-buku pendidikan agama seperti Adab Perempuan, Kitab Isra’ dan Ma’iraj, Panduan Mengajar dan lain-lain kitab yang telah digunakan oleh sekolah-sekolah agama di negeri Johor, menurut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Johor. Beliau juga pernah menterjemahkan buku-buku cerita daripada bahasa Arab seperti Kaliupatra, Rukambul d. l. dan juga mengarang sebuah buku jalan bahasa Melayu yang berjudul “Lidah Melayu”.

Semasa perkhidmatan beliau di dalam kerajaan negeri Johor, beliau merupakan penaja pertandingan bacaan Al-Quran di antara murid-murid sekolah agama seluruh negeri Johor, dan kemudiannya diikuti dengan pertandingan kategori dewasa, sebelum Kerajaan Perikatan pada waktu itu mengadakan pertadingan-pertandingan seumpamanya. Beliau juga telah menaja perayaan Maulud Nabi secara besar-besaran di seluruh negeri Johor yang dimulakan oleh murid-murid sekolah.

Di atas jasa-jasa beliau kepada negeri Johor, beliau telah dikurniakan Pingat Ibrahim Sultan oleh DYMM Sultan Johor.

Allahyarham Haji Ahmad bin Yaakub Al- Johori telah meninggal dunia pada 1hb. November, 1959 pada waktu usianya 68 tahun.  Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

 

MEDAN SELERA

 

Sebelum beliau meninggal dunia, beliau sempat menulis buku masakan Medan Selera dan juga buku Hidangan Terpilih pada tahun 1958, berbekalkan resepi-resepi yang beliau kumpul sepanjang hayat beliau yang telah pun dicuba, diubah dan dijamin keenakannya oleh beliau sendiri. Seperti yang beliau selalu berpesan kepada sesiapa sahaja yang ingin mencuba resepi-resipi beliau ini, “Kalau ikut segala peraturan, insyaAllah sedap masakan itu.”

Selepas beliau meninggal dunia, undangan memasak untuk majlis-majlis keraian dan sebagainya telah disempurnakan dan diteruskan oleh isteri beliau.

Allahyarhamah Hajjah Jamaliah, isteri kepada Allahyarham Haji Ahmad bin Yaakub Al-Johori ini telah memanfaatkan ilmu masakan yang diturunkan melalui buku-buku ini dengan terus memasak resepi-resepi ini untuk hidangan harian keluarga sehinggalah akhir hayat beliau. Beliau juga telah memulakan perniagaan rempah ratus yang dibuat sendiri sejak tahun 60an.

Rempah berjenama Al-Johori ini masih lagi dijual hingga kini, diuruskan oleh menantu beliau di premis beralamat 11-G, Jalan Kolam Air, 80100 Johor Bahru.

Pada tahun 1971, salah seorang anak mereka, Allahyarhamah Hajjah Khadijah binti Haji Ahmad Yaakub Al-Johori, telah menerbitkan sebuah buku baru Medan Selera yang mana kedua-dua buku terdahulu iaitu Medan Selera dan Hidangan Terpilih telah digabungkan menjadi satu dan ditulis dalam rumi sepenuhnya. Tiada apa-apa perubahan dilakukan pada resepi-resepi asal Allahyarham Haji Ahmad bin Yaakub Al-Johori di dalam buku baru Medan Selera ini.

Tidak lama selepas itu, Allahyarhamah Hajjah Khadijah juga telah menerbitkan sebuah lagi buku yang diberi nama Medan Selera, yang hanya menyenaraikan separuh daripada jumlah resepi daripada edisi yang terdahulu. Ianya lebih ringkas dan padat.

Kini tibalah pula masa untuk kita mengembalikan nostalgia resepi-resepi Medan Selera dengan penerbitan baru berjudul Nostalgia Medan Selera.

Resepi-resepi asal kebanyakannya dikekalkan, serta sukatan dan ukuran dipermodenkan, selari dengan arus peredaran zaman, supaya generasi terkini dapat memanfaatkan lagi ilmu yang diturunkan oleh Allahyarham Haji Ahmad bin Yaakub Al-Johori ini hasil usaha cucunda-cucunda beliau:

Puan Hajjah Faizah Aziz-Wells
Puan Hajjah Mariam Asha’ari Becker
Puan Hajjah Halimah Ashari
Puan Faridah Abdul Aziz
Puan Hajjah Hamidah Ashari
Prof. Dr. Hajjah Habibah Ashari
En. Mohd. Zakir Mohd. Zahir

 

Isteri Allahyarham Haji Ahmad bin Yaakub Al-Johori, Hajjah Jamaliah binti Omar bergambar bersama cucunda-cucunda yang saban tahun membesar dengan masakan resepi-resepi dalam buku Medan Selera. Enam di antara mereka merupakan penulis bersama buku Nostalgia Medan Selera ini. Mereka ialah: Halimah, Faridah, Hamidah, Habibah (duduk dari kiri), serta Mariam (barisan tengah paling kiri), dan Faizah (barisan tengah paling kanan).

 

Comments are closed.